|
:: Tuesday, March 18, 2008 ::
♥
MUST READ: BULAN MENGAMBANG DI LANGIT KL
♥
Nukilan: PENDAHULUAN
Kemenangan rakyat ini bukanlah matlamat ataupun destinasi akhir, ia hanyalah satu proses. Kerana itulah kekalahan rakyat di banyak tempat mempunyai duduk yang sama dengan kemenangan. Kedua-duanya, menang atau kalah masih satu proses. Kemenangan Barisan Rakyat di Selangor adalah proses, kekalahan Barisan Rakyat di Trengganu juga proses. Kekalahan CheguBard adalah proses, kemenangan Nurul Izzah juga proses. Pokoknya, rakyat masih belum selesai berjuang. Kesejahteraan rakyat tanpa mengabaikan prinsip ketuhanan masih relevan dan masih jauh untuk dipenuhi.
Ketika menulis cerpen Bulan Mengambang di Langit KL (cerpen ini ikut termuat di dalam Kumpulan Cerpen Kekasih Sam Po Bo), saya berdepan dengan masalah untuk menyiarkannya. Saya tahu, saya harus berpihak kepada aspirasi rakyat, harga minyak harus turun dan bulan harus mengambang di langit KL. Saya terilham untuk menulis cerpen ini di tengah-tengah keributan Mohd Sabu, jaguh rakyat yang dibelasah FRU dan dilokap kerana membawa ribuan manusia berdemonstrasi di hadapan KLCC. Saya harus menulis cerita ini kerana tiada pengarang nasional lain yang akan membawanya. Ramai yang akan memilih zon selamat. Betul, tiada majalah yang mahu menyiarkan cerpen ini, editor menelefon saya memberitahu, "Bila la kau nak berubah Faisal. Jadilah pengarang yang 'baik'." Tetapi majalah Massa yang hampir tiada pembaca membelinya (kini telah berkubur) sudi menyiarkan cerpen ini. Tidak lama kemudian saya membawa sama cerpen ini dalam antologi cerpen saya yang keempat tersebut. Pengajaran yang saya dapat dari peristiwa 'penolakan editor' terhadap cerpen tersebut membuktikan, 'perubahan sukar berlaku kerana ketakutan dan dongengan yang dicipta-ciptakan sendiri' dan lebih lanjut, saya juga tahu 'amat mudah menjadi teknokrat, juga sangat mudah menjadi ilmuan tetapi memilih menjadi cendiakawan amat pahit'. Sebagai pengarang sepenuh masa, cerpen tersebut dibayar dengan harga RM150 oleh majalah Massa.
Menjadi seniman tidak mudah, saya ingat pesan Pak Samad Said ketika saya melutut menjadi muridnya di celah tiang Masjid Negara, kata bapak: 'Ketika penguasa bermaharajalela, ketika media bungkam, seniman harus jadi suara rakyat.' Kemudian saya berguru dengan Shahnon Ahmad, sebelum beliau menerbitkan Shit yang penuh kehebohan itu.
Kredit harus diberikan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim. Saya bukan penggemar beliau tetapi peranan beliau tidak dapat dinafikan lagi dalam menyusun Barisan Rakyat. Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau.
Saya melihat enam perkara besar yang menyebabkan rakyat bertindak menghukum keangkuhan tokoh dan parti tertentu pada 8 Mac lalu. Perkara tersebut ialah:
1. PENINDASAN
Penindasan tidak berlaku dalam bentuk material sahaja. Tuan-tuan fikir Asiah, isteri Firaun ditindas dalam bentuk material? Tidak, suaminya kaya malah mampu membina bangunan tinggi-tinggi, besar-besar. Saya percaya kalau Asiah sebut sahaja mahu apa pun dia akan dapat. Kalau dia minta enam belas koridor di Mesir pun dia akan dapat. Tetapi Asiah tertindas dari segi rohaninya. Koridor sana sini tidak menarik minatnya. Dan Asiah bangkit menentang penindasan rohani itu, dan untuk itu dia mendapat ganjaran yang paling besar iaitu berjiran dengan Allah dan terpilih menjadi Penghulu Wanita di Syurga.
Rohaniah rakyat ditindas secara keji. Umat Islam dipaksakan suatu bentuk rohaniah baru yang bersumberkan 'ketamadunan' . Gejala rohaniah songsang ini sangat menyebabkan rakyat meluat, dan jengkel.
Makanan rohani rakyat seperti kebebasan berfikir disekat, dibendung, diempang dan ditekan. Malah bekas Perdana Menteri Dr Mahathir juga menyifatkan kerajaan menjadi terlalu bongkak, menindas pendapat yang tidak disukai dan mula mempercayai laporan sendiri yang biasanya tidak selari dengan apa yang sebenarnya terjadi. Walaupun sebetulnya janganlah kita terlalu seronok dengan kenyataan Dr Mahathir ini kerana pada zaman beliaulah bermulanya penindasan kebebasan berfikir ini. Dua kali lima. Jadi hukuman rakyat ini adalah hukuman yang jelas bukan sahaja untuk seorang dua tokoh tetapi hukuman atau penolakan untuk seluruh sistem yang menindas ini. Sistem kehakiman yang menindas (V.K Linggam ingat? DSAI ingat?), sistem pendidikan yang menindas (kekangan terhadap mahasiswa ingat?), dan macam-macam lagi yang menyakitkan telah dihukum rakyat. Begitulah seorang tanahan ISA memenangi pilihanraya secara bergaya, begitulah seorang pejuang hak asasi dilantik menjadi ADUN oleh rakyat di Selangor, maka kerana itulah juga blogger boleh menang pilihanraya di Pulau Pinang kerana ini adalah hukuman setelah bermaam-macam penindasan. Kalau suara rakyat ini tidak didengar dan ditafsirkan, kita tidak tahu apa lagi apa yang mereka mahukan.
Kita dapat melihat bagaimana media dimanipulasi dengan begitu buruk. Rakyat muak dengan asakan media yang meloyakan. Dan rakyat yang bukan lagi bodoh tetapi terus diperbodohkan mencari jalan keluar. Hukuman rakyat ini bukan sahaja hukuman untuk parti atau tokoh tertentu tetapi terhadap media yang tidak mahu berubah-ubah, malah sesudah menerima tamparan sebegini hebat masih tetap mahu mempertahankan kebongkakan secara begitu busuk. Macam tak reti-reti media. Jadi, jangan tuan-tuan terkejut jika menjelang PRU 13 kelak, media seperti TV3 akan berkokok yang Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri termiskin di Malaysia!
Justeru, kita tidak hairan juga jika rakyat bangkit menentang asakan material. Rakyat bukan haiwan ternak, yang memikir untuk makan sahaja mengenyang perut. Penindasan rohaniah ini dirujuk oleh pimpinan Kelantan sebagai: "Inilah akibatnya jika manusia tak dengar kata Allah. Faktor kemenangan bagi saya sebab kita perjuang Islam, Umno sudah melampau hingga hina rakyat sendiri, hina demokrasi, jangan harap nak jalan Islam demokrasi yang dia kata dia perjuangkanpun diselewengkan. "
2. KEANGKUHAN
Sudah tidak terkira lagi perasaan rakyat melihat keangkuhan tokoh tertentu. Rakyat India tidak terbendung rasa melihat keangkuhan Samy Vellu dan kawan-kawannya. Rakyat Tionghua tidak terbendung melihat keangkuhan pemimpin mereka. Kemudian rakyat juga melihat berbagai-bagai rupa keangkuhan pemimpin politik, pengurus pilihanraya, dan pihak berkuasa. sehingga keangkuhan itu sudah terlihat sebagai rupa kezaliman yang hodoh dan kotor.
Masakan rakyat lupa keangkuhan penyapu? Masakan rakyat lupa keangkuhan bahawa menurunkan harga minyak boleh menyebabkan bangkrap? Masakan rakyat lupa keangkuhan seorang 'taukeh media' yang dengan sombong memperlekehkan kebangkitan rakyat di rangkaian al-Jazeera? Maskan rakyat lupa kerakusan pencabul demokrasi yang dijayakan secara halus? Masakan rakyat lupa keangkuhan pelindung rasuah? Masakan rakyat lupa keangkuhan pihak yang membelasah mereka di perhimpunan aman? Masakan rakyat lupa keangkuhan budak nakal yang berani mengaku perosak? Dan tidakkah menghairankan keangkuhan ini tetap dipertahankan dengan soalan, 'tak tertekan, mana ada tekanan, siapa yang menekan?'
Keangkuhan yang tidak dapat diurus ini membawa kepada satu bentuk hukuman yang padu. Kita tidak memerlukan penganalisis yang pandai untuk dibawa berucap dan berbincang secara mendalam di rangkaian Astro Awani, TV3 atau RTM1. Rakyat mual dengan keangkuhan. Itulah analisis yang tepatnya. Kerana itulah tokoh (yang didakwa) tidak bermasalah seperti Shahrizat turut ditolak kerana tokoh ini tidak menyatakan apa-apa ketika rakyat ditindas. Diam seperti Shahrizat itu membawa kepada satu isyarat bahawa keangkuhan yang dibenci rakyat itu turut direstuinya. Justeru tokoh yang turut merestui keangkuhan ini, kerana dia diam maka turut menerima tempias hukuman.
3. ILMU TIDAK MENCUKUPI, AMAL YANG DILIHAT
Bukan seorang ilmuan yang muncul di media, malah ada yang ditampilkan secara berulang-ulang, memutar-belitkan ilmu yang ada dalam dadanya. Malah ada ilmuan dari universiti yang turun padang bertanding untuk menentang aspirasi rakyat. Tuan-tuan, mengkhianati ilmu bahaya sekali. Cara mudah untuk mengkhianatinya ialah dengan tidak mahu beramal dengannya. Ilmu yang baik seperti iman, membisikkan kebajikan dalam nubari. Tetapi ilmuan itu mengabaikan suara hatinya. Ada yang sudah terlanjur berkata-kata celupar, ya malu, tetapi orang Melayu ada mencipta sebuah peribahasa untuk orang angkuh (serta terlajak) seperti ini - bagai menegakkan benang basah.
Rakyat semakin bijak, semakin menggunakan akal dan melihat bahawa ilmuan yang terkongkong dengan ilmu semata-mata tidak dapat memberi apa-apa buat mereka. Rakyat mendambakan cendekiawan.
Mahu tahu apa beza ilmuan dan cendekiawan? Enstein adalah seorang ilmuan apabila berjaya mencipta dan menemui atom. Sumbangannya dalam bidang sains tenaga amat berguna. Ilmunya memberi manfaat kepada seluruh manusia sejagat. Tetapi apabila atom digunakan untuk menjadi senjata pemusnah oleh Eisenhower, maka Enstein sang ilmuan segera bertindak menjadi cendekiawan iaitu memilih menjadi musuh kepala negaranya kerana dia tahu itu bukan caranya ilmu tersebut dapat diselewengkan.
Jadi, jika anda mengaku sarjana, ilmuan - di mana duduk ilmu anda apabila anda mengkhianatinya dan berpaling dari aspirasi besar rakyat?
Kerana itu rakyat memandang sebelah mata tokoh besar dalam bidang agama di Permatang Pauh tetapi berpihak kepada seorang surirumah yang dimomokkan tidak cukup berpengalaman. Kerana apa guna ilmu jika ia tidak diamalkan?
Rakyat yang antara lain pengundi muda, yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi, sudah rimas mengekor buntut Profesor mereka yang kecut. Sang profesor masih terbenam dengan analisis singkat dan dangkal sedangkan anak muda sudah celik minda menelusuri blog-blog yang tajam penuh kritikan.
Baik, tiga faktor hukuman rakyat tadi TIDAK dapat diterjemahkan secara penuh kerana adanya halangan, antara lain:
1. WAKIL POS & PENYELEWENGAN
Tuan-tuan, pihak oposisi telah membangkitkan keraguan yang cukup munasabah dan jelas bahawa adanya satu kecenderungan, dan adanya penipuan yang tidak dapat dijelaskan. Siapa dapat menjelaskan 200 bas berisi pengundi muda yang diiring dari KL ke Trengganu? Mengapa saya sebagai pengundi tidak pula disediakan bas untuk diarak pulang ke kampung bagi mengundi?
Rakyat muak dengan artis yang mengajak orang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tetapi dirinya sendiri tidak berdaftar. Rakyat muak dengan pengundi yang boleh mengundi lebih dari sekali. Rakyat kenal antara wakil pos dan wakil rakyat.
Dan rakyat muak dengan undi pos serta pengundi hantu. Undi pos adalah satu bentuk keangkuhan yang dipertahankan parti penyandang ketika kempen. Mana tidaknya sebelum undi pos dikira Mohamad Sabu di Kuala Trengganu mendahului calon BN dengan majoriti 288 undi. Mohamad memperolehi 31,851 dan BN 31,563. Namun selepas undi pos dikira Mohamad hanya menambah 83 undi 31,934 manakala BN naik mendadak kepada 32,562 undi.
Atau lihat pula halnya Khairy Jamaluddin yang tewas dalam kiraan pertama (tewas 83 undi) dan kedua (tewas 800 undi) kepada Badrul Hisham Shaharin akhirnya mendapat bantuan undi pos lebih daripada 6000 undi yang menyebabkan beliau menang dengan majoriti 5,470 undi.
Kerana itulah saya katakan di awal tadi, kemenangan itu proses, kekalahan juga masih satu proses.
Namun, dengan hukuman yang hebat (dalam konteks Malaysia) ini, pihak berwajib perlu memikirkan keangkuhan mereka semula. Penipuan tarikh pilihanraya (nyatalah feng shui tersebut berubah menjadi tsunami), dan pembaziran dua juta wang rakyat bila pihak berwajib menipu penggunaan dakwat celup tidak dapat digunakan kerana alasan tidak munasabah (tidak lojik macam siri drama Gerak Khas); harus disemak semula. Pihak berwajib harus berperanan dengan penuh kemurnian, keluhuran dan paksi akhlak semula.
Bertandinglah secara gentleman. Jika ada perlawanan yang berlangsung secara terhormat rakyat pun seronok tetapi apabila adanya perlawanan yang tidak seimbang, rakyat sebagai penonton akan menyorak dan memberi simpati kepada calon yang paling teruk dipukul.
Reformasi sistem demokrasi di negara kita masih jauh. Rakyat masih perlu terus meningkatkan persatuan untuk menghukum mereka yang menanti dengan penuh serakah untuk melakukan pencabulan lain.
2. SEBAHAGIAN BESAR MELAYU MASIH BELUM MENGGUNAKAN AKAL
Maaf, saya benci menghina bangsa sendiri secara terbuka tetapi yang benar tetap benar. Melayu, hah, penat bercakap mengenai Melayu yang Mohamad Sabu pernah katakan 'bangsa macam barua ini'. Jika lebih ramai Melayu mahu menggunakan akal dan berubah, sebuah kerajaan berkebajikan yang menawarkan bermacam-macam 'kebaikan' dapat dicuba selama 5 tahun. Tetapi Melayu bukan sahaja bangsa barua (meminjam kata-kata Mohamad Sabu tadi) tetapi masih ramai yang tidak menggunakan akal. Bukan; saya bukan fanatik terhadap satu-satu parti (saya pengundi independen) tetapi sikap tidak mahu keluar dari zon selesa dan sikap tidak mahu berfikir sesetengah Melayu amatlah mendukacitakan.
Pun Melayu yang saya maksudkan bukan Melayu bandar dan berpendidikan yang telah menunjukkan kecenderungan menggunakan akal dan logis dengan cukup waras dalam PRU 12 ini. Mereka memilih tawaran yang baik, dan menolak fahaman feudalisme dan tradisi yang kolot-molot. Maka, kerana itulah kita lihat bagaimana Melayu dengan penuh tekad memilih Nurul Izzah di Lembah Pantai, atau Dr Lo'Lo di Titiwangsa, atau Khalid Samad di Shah Alam.
Tetapi tidak semua Melayu seperti Melayu bandar. Ada Melayu yang barua dan tidak berakal seperti kata saya tadi. Bayangkan, seluruh negara membenci dengan sepenuh hati Samy Vellu, tetapi pengundi Melayu di kawasan Sungai Siput yang sebanyak 37.41 peratus telah tetap mengundi pak cik Samy. Mujur pak cik Samy tetap kalah kerana penduduk terdiri daripada kaum Cina sebanyak 39.57 peratus dan India sebanyak 22.96 peratus tekad dan mutlak menolak Samy. Di kawasan Sungai Siput, hanya Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Ahamad Fakeh Adam menang ke atas calon PKR dengan majoriti 1,821 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang yang mempunyai majoriti pengundi Melayu sebanyak 62.18 peratus manakala kerusi DUN Jalong yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina dan India dimenangi DAP.
Jika Melayu kampung, 'barua' dan tidak logik ini dapat dibangunkan penggunaan akal dan logis mereka, maka tentu sahaja mereka akan dapat bertindak dengan kebijaksanaan. Inilah alasannya calon pembangkang di Telok Mas Melaka kalah, calon PAS tersebut - Abdul Rahman Jaafar, seorang ustaz diundi secara mutlak oleh semua saluran yang melibatkan penduduk Tionghua, India dan sedikit Portugis. Tetapi beliau tetap kalah, kerana Melayu kampung yang tidak dapat menggunakan akal (kerana mereka dibodohkan oleh parti dan pemimpin tertentu) tetap tidak memilih seorang ustaz. Bila mereka separuh mati mereka akan terhegeh-hegeh jumpa ustaz ini minta pertolongan. Minta air jampi dan segala bagai. Begitu juga di Arau, Melayu di sana belum cukup menggunakan akal. Kerana Melayu di sana sibuk bertekak soal bid'ah atau tidaknya air jampi.
Bilalah majoriti Melayu mahu berubah, dan berhenti menjadi 'barua-bengap' ?
3. KEJAHILAN DAN KETIDAKPEDULIAN
Ini adalah satu bentuk keangkuhan juga. Jika tadi yang angkuh ialah pihak berkuasa, kali ini yang angkuh ialah pihak yang sepatutnya menentu dan terlibat dalam proses pemilihan kuasa. Anehnya mereka bangga untuk jahil dan tidak peduli. Mereka duduk dalam kepompong dan katak tempurung.
Golongan jahil dan tidak peduli inilah yang boleh dimanipulasi oleh kelompok penindas untuk menindas rakyat lebih lanjut. Mereka muncul dalam pelbagai bentuk menjadi lembaga pengundi hantu, penganalisis politik, pengarang upahan, pelajar naif, blogger terpisah dari real sosial dan politik, ulama lesu dan ya berbagai-bagai rupa tetapi jika E.T kita tetap tahu yang mereka itu E.T meskipun mereka bermekap cantik, dan pandai menyanyi.
SEKARANG, PALING PENTING - Ingatan besar kita sebagai rakyat yakni kepada parti mana pun, kepada tokoh mana pun bahawa kami berhak menghukum anda 4 atau 5 tahun lagi. Jadi seruan saya di sini:
1. BARISAN RAKYAT JANGAN JADI ANAK-ANAK
"Akan wujud ketidakstabilan untuk seketika. Jika pembangkang pandai, mereka boleh memperbaiki keadaan itu," Inilah kata Dr Mahathir. Ya, walaupun rakyat mendapat sedikit manfaat dari kritikan-kritikan keras beliau terhadap kumpulan angkuh, kita perlu tetap ingat yang beliau juga adalah entiti angkuh tersebut.
Namun, kata-kata Tun Mahathir ini wajar menjadi satu ingatan buat Barisan Alternatif supaya jangan main-main, atau kami rakyat akan melengserkan kalian pula dari kuasa. Perak dapat menjadi satu model kerajaan campuran yang menarik. Di mana bukan lagi kepentingan parti yang menjadi asas tunggak kerajaan tetapi kepentingan rakyat. Mengambil kira rakyat, PAS perlu bekerja dengan DAP dan DAP perlu menghormati undang-undang tubuh Perak yang menuntut Melayu-Islam sebagai ketua kerajaan. Jika parti-parti dalam Barisan Alternatif dapat berfungsi dengan baik dan licin, mengutamakan kepentingan rakyat (seperti yang didakwa) maka Perak akan dapat menjadi contoh kepada rakyat di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Jangan sesekali termakan dengan jarum sentimen kaum yang sedang berlegar di luar. Kita semua rakyat Malaysia dan kita sama-sama mencintainya dengan jiwa raga meskipun masing-masing punya cara tersendiri.
Lima negeri (sebetulnya enam termasuk Wilayah Persekutuan) barisan rakyat ini harus bekerjasama untuk saling membangunkan ekonomi mereka. Bayangkan kerajaan negeri ini saling 'melabur', mitos 'negeri miskin' yang difiksikan media akan diberi tamparan kuat.
2. PENGEKALAN CITRA TEMPATAN
Senyumlah sedikit, buanglah keseriusan di riak muka itu. Menunjukkan izzah pun biar bertempat. Amar makruf nahi mungkar ada prinsipnya. Bukan setiap keadaan nahi mungkar dapat dianjurkan. Kadang-kala mencegah mungkar juga mendatangkan kemudaratan lain. Apa yang dapat dibawa silalah bawa, jangan jadi seperti wahabi-salafi yang memusuhi unsur peribumi atau lokaliti di mana kita harus beringat jatidiri tempatan sangat penting. Berjaga-jagalah dengan kenyataan tuan-tuan haji semua.
Dengan unsur tempatan, Islam di rantau Nusantara ini berkembang, lantas meresap dalam budaya. Begitulah citra Islam akan dapat diperbaiki dalam kalangan bukan Islam. Inti Islam akan dapat dihadirkan dan orang akan bercakap mengenai kebaikan Islam tanpa dipaksakan.
Kerajaan PAS-PKR-DAP Kedah berpeluang menghadirkan citra tempatan ini tanpa menjejaskan Islam. Usah terburu-buru melakukan nahi mungkar yang menjejaskan citra Islam secara keseluruhan. Kerajaan baru Kedah akan dinilai memandangkan Kedah juga mempunyai minoriti orang Siam.
Kerajaan Kedah mesti beringat, rakyat memberi mereka kuasa kerana adanya protes terhadap kerajaan sebelumnya. Bukan sangat kerana dasar parti PAS.
Prinsip atau cara pandang wahabi (yang punah dan ranah) iaitu membahagi garis secara Islam-Kafir harus ditukar kepada prinsip atau cara pandang murni Islam aktual iaitu penindas-yang tertindas. Ini bermakna siapa sahaja yang tertindas harus dibela biarpun dia seorang penganut Hindu, penganut Buddha atau seorang 'puteri' yang diraba dicabul kehormatannya.
Pembelaan kelompok tertindas adalah Islam tulen yang dibawa Rasulullah sehingga mendapat sambutan semua kelompok kelas bawahan di Mekah dan Madinah (lalu kemudiannya diikuti kelas menengah); dan ia diteruskan Saidina Husin di Karbala. Kekuatan prinsip membela yang tertindas oleh Saidina Husin inilah yang mendorong Dalai Lama mengatakan satu masa dahulu: 'Jika Buddha punya episod Karbala, semua orang akan menganut Buddha'.
3. BANGUNKAN MINDA LOGIS DAN KEBIJAKSANAAN BERPOLITIK ORANG MELAYU
"Mak cik boleh cuba parti ini, mereka berjanji akan menurunkan harga minyak."
"Tak nak lah nak. Mak cik dapat lima ribu nak betulkan pagar rumah, jadi mak cik tetap nak pilih mereka meskipun mereka korup."
Ini dialog seorang peraih undi dengan seorang mak cik.
Ya, masih ramai Melayu barua di kampung/pedalaman yang takut melakukan penderhakaan politik meski ditindas secara rohaniah. Mereka lebih kecut dari Asiah yang berani melawan Firaun.
Melayu seperti ini harus disediakan satu program tersusun untuk membangunkan minda dan akal mereka supaya Melayu menjadi bijak berpolitik. Mereka harus disedarkan generasi dan masa depan Malaysia lebih penting dari upah ciput supaya dapat membeli seluar jeans, mereka harus disedarkan supaya sentiasa beringat hadiah RM50 ketika kempen tidak dapat membeli harga masa hadapan. Mereka harus dicelikkan tentang korupsi, tentang penyelewengan kuasa dan diajar menggunakan kuasa politik yang ada pada mereka. Lagipun kita menuju negara maju yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan? Untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kemakmuran program membangunkan akal mesti dijalankan. Ustaz-ustaz kampung yang sibuk membid'ahkan orang harus digoncang semula supaya bukan setakat berdakwah tetapi menekuni. Ustaz-ustaz kampung yang mengajar sifat 20 sahaja, mengajar fikah haidh nifas semata harus didorong untuk mengajar tabiat siasah dan falsafah Islam juga. Sukatan tarbiyyah dan usrah kumpulan agama mesti mencapai sasaran ini.
Melayu barua (seperti kata Mohamad Sabu) ini harus dikejutkan bahawa keadilan dan kebenaran lebih berhak mendapat tempat dari kemakmuran. Kerana kemakmuran tanpa gabungan keadilan dan kebenaran tidak ada manfaatnya. Tidak ada mutunya.
Untuk Melayu seperti ini program kesedaran yang panjang harus bermula dari awal. Dongeng Demang Lebar Daun harus ditabrak. Dongeng kesetiaan kerana penguasa turun dari kayangan mestilah segera dipadam. Ini menjadi lebih genting kerana Barisan Alternatif beroleh kuasa di Kedah kerana peratus keluar mengundi orang Melayu dari parti tertentu agak rendah kerana masalah dalam parti tersebut.
Parti pembangkang (di lima negeri mereka adalah pemerintah; jadi media tolong lebih berhati-hati menggunakan istilah) haruslah berusaha membangkitkan logis ini supaya lima tahun lagi orang Melayu lebih matang berpolitik dan bukan hanya menunggu satu lagi mata lebam untuk membuat keputusan.
KESIMPULAN
Tsunami, memang tsunami. Rakyat adalah hakim dan mereka akan bertindak bila terus ditindas. Pencabulan demokrasi akan berlaku dengan lebih sengit dan berani, bahkan dengan penuh helah lagi. Hak kita sebagai rakyat akan terus dinodai. Pilihanraya mesti dibaiki kekotorannya atau rakyat akan memilih jalan raya.
:: bAiTi Successfully Scribbled Her Head @ 7:58 am [+] :: |
Viewers Viewing ()
|